Pembelajaran terbeza bukanlah sesuatu yang asing buat pendidik semua. Cuma, kita masih berusaha untuk mendapatkan kaedah pelaksanaan yang lebih berkesan dalam kelas. Teori dan amalan memang berbeza, bukan?
Perkongsian berikut disediakan dari perspektif guru. Masalah dan perspektif murid dan teknikal akan kita bincangkan kemudian. Perkongsian berikut dimulakan dengan 1 orang guru, 1 mata pelajaran tetapi mungkin untuk beberapa kelas yang diajar oleh guru yang sama.
Langkah 1,Guru kenal pasti kod warna yang perlu diguna untuk setiap golongan murid:
- Golognan TP1 dan TP2 gunakan warna A
- Golongan TP3 dan TP4 gunakan warna B
- Golongan TP5 dan TP6 gunakan warna C
Dengan ini, guru tersebut boleh gunakan kod warna yang sama untuk golongan murid tanpa mengira berapa kelas yang diajarnya. Kaedah untuk sediakan warna mengikut TP murid boleh dibuat samada melalui MS EXCEL atau Google Sheet dengan atau tanpa formatting. Tapi ini bukan topik perbincangan hari ini.
Langkah 2,Guru sediakan nama murid atas kertas warna ikut kod warna golongan TP murid. Ini perlu diedar kepada murid untuk dipaparkan di meja murid.
Langkah 3,Semasa guru sediakan latihan (yang terbeza dari segi isi kandungan, arahan kerja dan sebagainya), sediakan latihan atas kertas warna ikut kod warna yang telah ditetapkan. Ianya bukan sahaja memudahkan urusan edaran, malah ia juga mudahkan urusan penilaian / semakan oleh guru nanti.
Secara amnya, kaedah ini sesuai untuk semua mata pelajaran, kecuali: Pendidikan Seni Visual, Pendidikan Jasmani dan RBT.
Faedah kaedah ini:
- Kebolehlaksanaan. Tanpa mengira bilangan murid, bilangan kelas yang diajar, ia boleh dilaksanakan.
- Memudahkan semakan dan penilaian oleh guru kemudian. Guru yang sediakan latihan mestilah jelas akan tahap kesukaran yang disediakan.
- Dengan SOP sedia ada, perbincangan kumpulan mungkin tidak boleh dijalankan, maka kaedah ini memudahkan edaran samada oleh guru atau murid yang membantu. Edar ikut kod warna sahaja, mudah bukan?
Kini, mari kita telitikan masalah yang mungkin tertimbul dari kaedah ini.
Cadangan atas adalah dari perspektif guru semata-mata. Namun, dari perspektif murid, seseorang murid mungkin perlu hadiri lebih kurang 10 hingga 12 mata pelajaran. Dengan Pendidikan Seni Visual, RBT dan Pendidikan Jasmani dikecualikan, maka seseorang murid itu masih perlu uruskan kod warna yang berbeza kerana mungkin diajar oleh guru mata pelajaran yang berbeza. Bayangkan tekanan emosi murid itu jika gurunya garang dan kurang mesra dengan murid. Maka, sebagai pendidik, kita juga perlu ikhtiarkan kaedah untuk atasi masalah yang berlaku ini.
Bagaimana pula jika murid tersebut terlupa untuk membawakan namanya yang tercetak atas kertas warna itu (Langkah 1)? Ia mungkin menjejaskan kelicinan edaran latihan pada sesi PdP tersebut.
Bagi atas masalah ini, hubungan akrab antara pendidikan dan murid amat diperlukan. Pendidik juga boleh sediakan senarai nama murid ikut kod warna dalam kelas. Paparkan senarai nama murid dalam sudut mata pelajaran dengan kumpulan kod warna.
Ingat, tiada solusi yang sempurna dari semua segi. Tetapi setiap usaha percubaan boleh diterokai dan diuji dengan berhati-hati. Kita buat habis baik.
Sekian, dikongsi.